Madani berjaya kurangkan hutang negara, namun diuar-uarkan Kerajaan zalim menindas – PMX

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Meskipun ramai pihak yang muak dan tidak senang duduk apabila kerajaan menyentuh isu hutang negara yang diwarisi daripada pentadbiran yang terdahulu, namun realitinya beban tersebut berjaya diselesaikan malah berkurangan hasil daripada kebijaksanaan tatakelola Kerajaan Madani.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa isu mengenai Kerajaan Madani mewarisi beban hutang serta liabiliti mencecah RM1.5 trilion, yang tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa atau remeh.

“Ada yang kata, ah biasa. Apa yang biasa? Saudara, ayah meninggal, anak ambil alih syarikat, hutangnya lebih RM55 ribu. Anak itu terbeban dengan hutang. Kami warisi kerajaan, hutang itu termasuk liabiliti, RM1.5 trilion. Itu kenyataannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada 11 pagi tadi di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut Anwar, Kerajaan Madani boleh sahaja mengambil solusi mudah dengan menambah hutang bagi melangsaikan hutang ketika ini kerana Malaysia masih lagi berstatus negara belum diisytihar muflis.

Bagaimanapun katanya, melihat kepada kepentingan Malaysia pada masa hadapan demi anak-anak yang bakal mengelola negara, Anwar tidak mahu negara berbuat demikian kerana ianya hanya akan membebankan generasi yang akan datang.

“Saya boleh hutang lagi. Bagi sahaja pada rakyat. Tetapi yang kena bayar nanti anak-anak kita. Kalau hutang meningkat ke RM1.6, RM1.7, RM1.8 trilion, mampukah mereka bayar?” tegasnya.

Bagi memastikan kestabilan fiskal negara, Perdana Menteri berkata pentadbirannya komited menurunkan defisit negara secara berperingkat dengan mengutamakan tatakelola yang baik dan keyakinan pelabur.

“Defisit semasa kita ambil alih kerajaan adalah 5.6 peratus. Tahun pertama kita turunkan kepada 5 peratus, kemudian 4.8 peratus dan tahun ini, kita berjaya turunkan kepada 3.8 peratus. Itu rekod luar biasa dalam mana-mana negara membangun,” katanya.

Tambah Anwar, pengurangan defisit terbabit tidak menjejaskan kebajikan rakyat mahupun gaji penjawat awam. Malah, katanya, peruntukan negeri-negeri termasuk yang diperintah pembangkang seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu juga terus meningkat.

“Masa kita turunkan defisit, gaji naik. Perbelanjaan negeri-negeri juga meningkat, termasuk negeri pembangkang.

“Tetapi yang diwar-warkan apa? zalim, menindas. Saya beri angka terperinci di Parlimen, tak bangkit soalan pun.” tambahnya.

Beliau turut menyeru semangat perpaduan nasional diperkukuh demi memastikan pembangunan seimbang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat