Mahu terus cipta kejayaan, atlet kebangsaan kekal komited dengan latihan

Masih dahagakan kejayaan, atlet kebangsaan, Nur Auni Maisarah,16, gigih berlatih untuk persiapan ke Kejohanan Dunia Bola Tampar Pantai FIVB U19 BVB World tahun hadapan.

Atlet berasal dari Pulau Pinang itu meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk mewakili negara ke pertandingan peringkat dunia dalam sukan bola tampar pantai.

Menurut Auni, dia mula terlibat dalam sukan bola tampar pantai seawal usia 13 tahun dengan mendapat sokongan padu daripada keluarga dan jurulatih.

“Kalau tiada sokongan daripada keluarga, terutama ibu bapa dan tak lupa juga kepada rakan sepasukan serta jurulatih, tentunya saya tidak dapat apa yang saya peroleh hari ini.

“Adik-beradik saya memang semuanya bermain sukan bola tampar pantai, dan mami (ibu) ayah akan sentiasa beri sokongan dan turut sama turun ke padang demi melihat kami semua bertanding tak kira lah dekat atau jauh tempat bertanding tu”, ujarnya kepada Malaysia Bangkit.

Nur Auni Maisarah (Jersey no.1) ketika perlawanan bola tampar pantai di Port Dickson.

Tambah Auni lagi, semasa negara kita dilanda pandemik Covid-19, ayahnya, Shamsulrizal dan jurulatih, Bun Lai A/L Ken berpakat dengan beberapa individu untuk membina sebuah gelanggang mini bola tampar pantai di rumah mereka di Pulau Pinang.

“Dulu kami bancuh sendiri simen untuk buat gelanggang kecil di rumah menggunakan wang sumbangan ibu bapa serta guru di sekolah, ketika itu ada lagi beberapa individu lain yang bantu kami,” katanya.

Baru-baru ini Auni dan rakan sepasukan, Farwizah Aina baru sahaja berentap di Kejohanan Dunia Bawah 21 tahun di Roi Et, Thailand dan sekarang sedang giat melakukan latihan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) mewakili negeri Pulau Pinang.

Auni turut berharap agar sukan bola tampar pantai akan menjadi sukan utama di Malaysia dan melahirkan lebih ramai lagi pelapis yang mampu membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat