Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperkukuh usaha pemulihan akidah bekas ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) melalui pendekatan bersepadu yang melibatkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK).
Langkah tersebut menekankan pemulihan menyeluruh bagi semua peringkat umur dengan perhatian khusus kepada kanak-kanak yang terlibat.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan bahawa tindakan telah diambil bermula 23 September lalu dengan pelaksanaan pelan tindakan bagi membantu kanak-kanak GISBH daripada segi pemulihan akidah dan sosial.
Sehingga kini, seramai 20 guru al-Riqab MAIS terlibat dalam memberi bimbingan di rumah kebajikan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), merangkumi 261 orang kanak-kanak.
Modul pemulihan khas yang dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) turut mula dilaksanakan pada 1 Oktober lalu.
“Ia adalah pendekatan jangka panjang yang dirangka secara rapi bagi memastikan kanak-kanak ini menerima bimbingan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), salah satu agensi MAIS, turut menyalurkan bantuan keperluan asas termasuk keperluan ibadah solat untuk kanak-kanak yang terlibat.
Dalam pada itu, MAIS turut menguruskan dua pusat pemulihan akidah iaitu Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman dan Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan yang menyediakan perkhidmatan perlindungan, rawatan spiritual Islam dan kaunseling untuk individu yang memerlukan pemulihan akidah dan akhlak.
“MAIS sentiasa bersedia membantu bekas ahli GISBH melalui kemasukan secara sukarela atau perintah mahkamah untuk menjalani proses pemulihan,” jelasnya.
Dalam usaha jangka panjang, MAIS melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga menawarkan bantuan untuk pembangunan sosial, kebajikan, pendidikan dan ekonomi kepada individu yang telah selesai mengikuti proses pemulihan.
Langkah MAIS dalam menangani isu tersebut melibatkan penubuhan jawatankuasa khas yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Abdul Aziz menegaskan bahawa MAIS komited untuk memastikan penyebaran ajaran sesat di negeri Selangor dapat dibanteras secara menyeluruh.
Terdahulu pada 11 September, polis menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH yang didakwa terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan doktrin ketaasuban.
Susulan serbuan pertama itu, seramai 402 penghuni rumah amal berkenaan telah diselamatkan dan 171 individu berusia antara 17 hingga 64 tahun ditahan.