Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Dalam usaha berterusan melestarikan seni warisan negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mempersembahkan pementasan epik teater tradisional Mak Yong bertajuk ‘Raja Tangkai Hati’.
Pementasan ini diadakan di Dewan Tengku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada semalam dan hari ini (9 dan 10 November), memberikan peluang kepada rakyat Malaysia menyaksikan keunikan budaya yang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai “Karya Agung Warisan Kemanusiaan” pada 2005.
Mak Yong yang berasal dari Kelantan, merupakan seni teater yang menyatukan elemen tarian, muzik dan lakonan dalam satu persembahan berirama, menggambarkan kisah cinta, dendam dan keperwiraan.
Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris menegaskan pentingnya usaha untuk memelihara dan mempromosikan teater tradisional ini.
“Pementasan ini adalah penting dalam memelihara dan mempromosikan Karya Agung Teater Tradisional Mak Yong serta mengharapkan sokongan daripada pelbagai pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam persembahan Raja Tangkai Hati, penonton dibawa menyelami pengembaraan watak utama bersama isteri dan anak-anaknya yang diuji dengan tipu daya Puteri Bota.
Kisahnya memaparkan tema kasih sayang, keadilan dan pengorbanan, mencerminkan nilai-nilai murni yang relevan dalam kehidupan masyarakat.
Mak Yong juga berperanan sebagai medium pendidikan yang mengangkat nilai-nilai kehidupan, menurut kenyataan JKKN.
Selain itu, pementasan ini turut melibatkan kerjasama dengan UPSI dan Persatuan Solidariti Seni Budaya dan Warisan Malaysia.
Elemen budaya Melayu yang kaya terselit dalam setiap lakonan dan tarian telah menjadikan Mak Yong bukan sahaja sebuah hiburan tetapi juga warisan sejarah bangsa yang penuh keindahan dan mendalam.
Mak Yong bukan sekadar persembahan kerana ia juga merupakan satu bentuk kajian dan penyelidikan terhadap warisan seni yang perlu dipertahankan.