Makar Fest XL Mohon Maaf, Janji Perbaiki Penganjuran Akan Datang

PETALING JAYA: Pihak penganjur Makar Fest XL tampil dengan kenyataan rasmi memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang festival berlangsung, sekali gus menunjukkan komitmen mereka untuk terus memperbaiki mutu penganjuran pada masa hadapan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Festival, Issey Fazlisham, beliau berkata, setiap teguran daripada pengunjung dan pihak berkepentingan akan dijadikan ruang untuk menilai serta memperkemaskan lagi perjalanan festival.

“Kami pihak penganjur Makar Fest XL ingin memohon maaf secara terbuka atas segala kekurangan dan perkara yang telah menimbulkan rasa kurang selesa kepada mana-mana pihak sepanjang penganjuran berlangsung.

“Kami menerima setiap teguran dengan hati terbuka sebagai ruang untuk menilai, memperbaiki dan memperkemaskan lagi penganjuran pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada semua yang terus menyokong, memberi nasihat serta memahami perjalanan kami,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 40 saat menunjukkan sekumpulan pengunjung menari sambil melompat-lompat ketika menonton persembahan pentas di program Makar Fest XL yang berlangsung di tempat letak kereta sebuah pusat beli belah di Kota Bharu, Sabtu lalu.

Oleh itu, Kerajaan Kelantan merampas cagaran RM8,000 penganjur Makar Fest XL selepas mendapati berlaku pelanggaran syarat lesen serta garis panduan hiburan yang ditetapkan semasa program.

Anda Mungkin Berminat