Malaysia Airlines Sambung Penerbangan Ke Jeddah Dan Madinah Hingga 8 Mac, Doha Masih Ditangguh

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines mengumumkan penyambungan sementara penerbangan pergi dan balik ke Jeddah (JED) dan Madinah (MED) bermula hari ini sehingga 8 Mac 2026.

Langkah itu diambil selepas perkhidmatan ke destinasi berkenaan ditangguhkan sejak 28 Februari 2026 berikutan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Timur Tengah.

Dalam kenyataan pada Rabu, Malaysia Airlines memaklumkan bahawa penerbangan ke Doha (DOH) masih ditangguhkan sehingga 7 Mac 2026 sementara syarikat menilai situasi keselamatan semasa.

“Semua penerbangan lain, termasuk ke London (LHR) dan Paris Charles de Gaulle (CDG), diteruskan seperti dijadualkan melalui laluan alternatif yang jauh dari zon konflik.

“Keselamatan penumpang dan kakitangan adalah keutamaan kami.

“Kami terus memantau perkembangan situasi di rantau ini dan akan bertindak sewajarnya untuk memastikan operasi berjalan lancar,” menurut kenyataan itu.

Malaysia Airlines berkata, penumpang yang terjejas telah dimaklumkan secara langsung dan diberikan bantuan bagi menyusun perjalanan alternatif.

Penumpang juga digalakkan mengemas kini maklumat hubungan melalui ‘My Booking’ di laman web Malaysia Airlines untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Bagi mereka yang memerlukan bantuan segera, kami menyediakan khidmat pelanggan 24 jam di talian dalam dan luar negara,” kata kenyataan itu.

Maklumat lanjut

  • Dalam Malaysia: 1300 88 3000
  • Luar Malaysia: +603 7843 3000

Anda Mungkin Berminat