Malaysia-AS Perkukuh Kerjasama Pertahanan Dua Hala

PETALING JAYA: Malaysia terus memperkukuh kerjasama pertahanan dua hala bersama Amerika Syarikat (AS), selaras dengan komitmen mempertingkatkan keselamatan serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu hantaran di Facebook berkata, beliau telah menerima kunjungan hormat Panglima Pemerintah Indo-Pasifik AS, Laksamana Samuel J. Paparo, di Bangunan Seri Perdana, Putrajaya.

Menurut Anwar, pertemuan tersebut menjadi medan penting untuk memperkukuh persefahaman strategik serta bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau.

“Pertemuan ini merupakan usaha memperhebat kerjasama pertahanan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

“Kami turut menyentuh komitmen berterusan Washington dalam memperkukuh kerjasama pertahanan dan diplomasi keselamatan di rantau ASEAN,” katanya.

Pertemuan itu turut mencerminkan kesungguhan kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan strategik khususnya dalam konteks kestabilan dan keselamatan Indo-Pasifik.

Anda Mungkin Berminat