Malaysia Bakal Jadi Hab Tenaga Hijau Asia – Abang Johari

PETALING JAYA: Malaysia berpotensi besar untuk muncul sebagai hab tenaga hijau utama di Asia, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, susulan taklimat teknologi hidrogen berimpak tinggi oleh syarikat antarabangsa Siemens.

Menurut beliau, teknologi baharu yang diperkenalkan mampu menghasilkan sehingga 350 kilogram hidrogen dalam masa sejam, membuka ruang kepada Malaysia untuk melonjak ke tahap piawaian tenaga antarabangsa.

“Dengan teknologi ini, Malaysia mampu mencapai piawaian tenaga antarabangsa dan seterusnya diiktiraf sebagai kuasa baharu dalam tenaga hijau di Asia,” katanya.

Menurut Abang Johari, Sarawak telah membuktikan keupayaan dalam industri hidrogen apabila berjaya mengeluarkan tenaga tersebut selama 131 hari menggunakan teknologi sedia ada, iaitu satu pencapaian yang meletakkan negeri itu sebagai perintis dalam ekosistem tenaga hijau negara.

Beliau menambah bahawa penggunaan teknologi terkini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran hidrogen, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pasaran global.

“Kami akan membantu Perdana Menteri untuk mengangkat Malaysia sebagai hab tenaga hijau di rantau ini, seiring dengan agenda negara untuk beralih kepada tenaga lestari,” ujarnya.

Abang Johari turut menekankan kepentingan kerjasama strategik dengan syarikat antarabangsa bagi memanfaatkan peluang pelaburan dan mempercepatkan pembangunan ekonomi hijau yang mampan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sarawak telah melakar sejarah sebagai negeri pertama melaksanakan projek perintis bas hidrogen, selain menjalin kerjasama dengan syarikat global untuk membina ekosistem tenaga hijau yang menyeluruh dari pengeluaran hingga penggunaan.

Anda Mungkin Berminat