Malaysia–China Perkukuh Kerjasama Strategik Di CAEXPO Ke-22

PETALING JAYA: Malaysia dan China terus memperkukuh hubungan dua hala dengan memeterai komitmen baharu dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan teknologi pintar sempena Ekspo China–ASEAN (CAEXPO) Ke-22 di Nanning, China.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengadakan pertemuan rasmi dengan Naib Presiden Republik Rakyat China, Han Zheng, sejurus selesai menyampaikan ucapan perasmian.

“Hubungan erat Malaysia–China perlu terus diperkasa mengikut perkembangan semasa, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pertanian moden serta rawatan dan pengurusan air,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Malaysia menegaskan komitmen terhadap Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) sebagai kerangka utama untuk mencapai sasaran sifar bersih karbon menjelang 2050.

Fadillah turut menekankan peranan Malaysia dalam merealisasikan agenda Grid Kuasa ASEAN, yang bertujuan menjamin keselamatan tenaga serantau dan memacu pembangunan mampan.

“Kerjasama erat Malaysia–China diyakini menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi serantau yang inklusif, mapan dan berdaya saing,” tambah beliau.

Pertemuan berprofil tinggi itu membuka ruang baharu untuk menarik pelaburan strategik dari China, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab tenaga hijau dan digital di Asia Tenggara.

Anda Mungkin Berminat