KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila melonjak empat tangga dalam Global Peace Index (GPI) 2025, sekali gus menempatkan negara di kedudukan ke-13 paling aman di dunia dan kedua paling selamat di ASEAN.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil usaha bersepadu antara kementerian dan agensi penguatkuasaan dalam memastikan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara.
“Keputusan ini mencerminkan keberkesanan langkah-langkah keselamatan yang telah dilaksanakan termasuk rondaan maritim dan udara yang berada pada tahap kesiapsiagaan 90 hingga 95 peratus serta usaha membanteras sindiket jenayah antarabangsa,” kata KDN dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
KDN turut berkata, penurunan kadar jenayah keseluruhan dan jenayah kekerasan menjadi faktor penting yang menyumbang kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan.
“Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan serta Jabatan Penjara memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan, kestabilan dan keselamatan negara.
“Pencapaian ini adalah bukti komitmen berterusan kita di bawah aspirasi Malaysia MADANI,” tambahnya.
Kementerian itu berkata, bahawa kejayaan itu lahir daripada reformasi bersepadu dan kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan, sekali gus membuktikan Malaysia kekal sebagai negara yang selamat, stabil dan dihormati di peringkat serantau serta global.








