KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran supaya segera meredakan ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara bagi mengelakkan tercetusnya konflik terbuka yang berpotensi menggugat kestabilan serantau dan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau memandang serius perkembangan terkini khususnya peningkatan penempatan aset ketenteraan serta kenyataan awam yang semakin keras.
Menurutnya, keadaan tersebut semakin mengecilkan ruang untuk tindakan berhemah pada saat dunia amat memerlukan pendekatan sederhana dan terkawal.
“Sebarang konfrontasi antara Washington dan Tehran akan memberi kesan besar kepada Timur Tengah yang sememangnya rapuh termasuk risiko peningkatan konflik proksi, ancaman keselamatan maritim dan kejutan ekonomi.
“Tiada kepentingan strategik yang boleh menghalalkan kemusnahan dari segi kemanusiaan dan material akibat konflik berskala besar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Anwar berkata, keutamaan terhadap keamanan perlu mengatasi segala pertimbangan lain, sambil menyeru semua pihak agar berundur daripada tindakan provokatif.
“Malaysia menggesa semua pihak menggunakan sepenuhnya saluran komunikasi sedia ada dan kembali kepada diplomasi dengan penuh kesungguhan serta keikhlasan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut memuji usaha konstruktif Oman dalam memudah cara dialog dan meredakan ketegangan, selain menggesa negara-negara berpengaruh agar memainkan peranan aktif dalam menggalakkan penyahtegangan demi kestabilan serantau dan antarabangsa.








