Malaysia-Indonesia Sasar Dagangan RM127 Bilion – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan acara rasmi di Jakarta hari ini dengan membawa amanah rakyat Malaysia dan semangat serumpun ke Perundingan Tahunan Ke-13 bersama Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto di Istana Merdeka.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menzahirkan keyakinan bahawa kekuatan rantau ini harus diperkukuh melalui muafakat strategik yang berani, teguh dan berwawasan.

“Kami menyentuh banyak isu penting hari ini melibatkan sasaran perdagangan RM127 bilion antara kedua-dua negara hingga ke soal kerjasama pelaburan di Ibu Kota Nusantara (IKN), akses lintas sempadan yang lebih lancar di Entikong, serta keperluan dalam memuktamadkan perjanjian persempadanan darat dan maritim yang tertangguh sejak sekian lama.

“Kesemua isu ini dilakar dengan niat bagi mempercepat manfaat kepada rakyat yang hidup di garis sempadan, tidak hanya sekadar angka atas kertas,” katanya.

Beliau turut berkata, pelaburan Malaysia dalam sektor strategik di Indonesia berasaskan semangat tulen memperkukuh kesejahteraan rantau.

“Kita berhasrat untuk menjadi rakan yang jujur dan amanah dalam pembangunan, dari soal tenaga boleh baharu, infrastruktur, perumahan hingga ke soal pendidikan dan teknologi.

“Malaysia ternyata bukan sekadar tamu sementara, malah kita adalah saudara yang datang bersama cita-cita masa depan,” ujarnya.

Menyentuh soal keselamatan serantau, beliau berkata, kedua-dua negara bersepakat memperhebat kerjasama di bawah kerangka Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) bagi menjamin keselamatan di Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

“Kita seharusnya tidak boleh alpa dan lalai, apatah lagi menyerahkan nasib rantau ini ditentukan kuasa luar tanpa suara dan pendirian,” tegas beliau.

Selain itu, katanya, Malaysia dan Indonesia bersatu suara dalam beberapa isu global termasuk kempen anti-sawit dan krisis kemanusiaan di Gaza.

“Dunia mesti menyedari bahawa Malaysia dan Indonesia tidak sesekali gentar menyanggah ketidakadilan kerana kita bukan hanya negara membangun tetapi negara bangsa yang bermaruah,” katanya.

Menurut Anwar, kunjungan kali ini bukan sekadar lawatan kerja, tetapi satu isyarat jelas bahawa Asia Tenggara mesti dipimpin dengan keberanian dan kejelasan hala tuju demi masa depan yang adil, stabil dan makmur.

Anda Mungkin Berminat