Malaysia Kecam Keras Rancangan Israel Ambil Alih Gaza

PETALING JAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya rancangan rejim Zionis Israel untuk mengambil alih Gaza secara menyeluruh, yang disifatkan sebagai pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia.

Dalam satu kenyataan tegas hari ini, Kementerian Luar menyifatkan tindakan Israel itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan terancang dengan niat jelas untuk menduduki wilayah Palestin secara kekal.

“Setelah 22 bulan serangan pengeboman berterusan, sekatan yang menjerut nyawa dan pengusiran paksa lebih 90 peratus penduduk Gaza, langkah ini bertujuan menamatkan penyelesaian dua negara secara muktamad,” menurut kenyataan itu.

Malaysia turut memberi amaran bahawa tindakan sewenang-wenang Israel akan menjejaskan sepenuhnya proses damai dan sekali lagi menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri.

Sehubungan itu, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa agar menolak dasar aparteid Israel secara tegas dan mengambil langkah konkrit ke arah penyelesaian yang adil dan berkekalan.

“Semua negara mesti menggesa pengiktirafan negara Palestin berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, memastikan gencatan senjata kekal serta menuntut pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza,” menurut kenyataan itu.

Malaysia juga mendesak agar sekatan terhadap bantuan kemanusiaan ditamatkan serta-merta, dan akses bantuan dibenarkan tanpa sebarang halangan.

“Malaysia menggesa Palestin diberikan keanggotaan penuh dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) demi menjamin hak dan maruah rakyatnya di peringkat antarabangsa,” kata kenyataan itu lagi.

Anda Mungkin Berminat