Malaysia Kekal Bebas Virus Nipah, DVS Perhebat Pemantauan

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal bebas daripada virus Nipah, kata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), yang menegaskan langkah pemantauan dan pencegahan akan terus diperkukuh susulan laporan wabak melibatkan manusia di India, baru-baru ini.

Dalam kenyataan pada Isnin, DVS memaklumkan pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan berterusan dan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi memastikan status bebas Nipah negara terus terpelihara.

“Pada tahun 2025, lebih 2,000 sampel babi domestik dan 48 sampel babi hutan telah diuji dan semuanya menunjukkan keputusan negatif bagi virus Nipah,” menurut kenyataan itu.

DVS berkata, kawalan import daging babi dilaksanakan secara ketat dengan hanya negara bebas Nipah dibenarkan mengeksport ke Malaysia.

Untuk info, virus Nipah merupakan penyakit zoonotik yang boleh berpunca daripada haiwan kepada manusia.

Kelawar buah dikenal pasti sebagai perumah semula jadi, manakala babi berperanan sebagai perumah pengganda (amplifying host).

Jangkitan dalam populasi babi meningkatkan risiko penularan kepada manusia dan haiwan lain.

Justeru, penternak babi diseru agar sentiasa berwaspada khususnya jika ladang berhampiran dusun buah-buahan atau mempunyai pokok yang menarik kehadiran kelawar.

“DVS akan terus komited memastikan keselamatan kesihatan haiwan, kelestarian industri ternakan, dan kesihatan awam sentiasa terpelihara,” katanya.

Orang awam pula dinasihatkan agar tidak panik, mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih.

Anda Mungkin Berminat