PETALING JAYA: Malaysia terus mencatat prestasi ekonomi yang memberangsangkan apabila pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku pertama (S1) 2026 meningkat kepada 5.4 peratus, melepasi jangkaan awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan unjuran median Bloomberg sebanyak 5.3 peratus.
Momentum itu, menurut Kementerian Kewangan (MOF), mencerminkan disiplin fiskal dan kecekapan tadbir urus Kerajaan MADANI walaupun dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat.
“Permintaan domestik berkembang kukuh sebanyak 5.2 peratus, disokong oleh pasaran buruh yang stabil, pelaksanaan fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) serta bantuan berterusan seperti Bantuan Khas Kewangan (BKK) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Pelaburan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pusat data turut meningkat hasil dasar pelaburan yang kondusif,” kata MOF dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, reformasi Ekonomi MADANI berasaskan dasar mesra pertumbuhan dan pengurusan fiskal bertanggungjawab terus memperkukuh momentum ekonomi negara.
“Pendekatan ini membolehkan Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan daripada 5.2 peratus pada tahun 2024 dan 2025, sebelum meningkat kepada 5.4 peratus pada suku pertama 2026.
“Pada masa yang sama, pengurusan fiskal yang bertanggungjawab membolehkan kerajaan mengurangkan dampak kenaikan harga bahan api global terhadap rakyat dan perniagaan melalui sistem subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) serta bantuan yang dipertingkat di bawah BUDI Diesel,” katanya.
Kementerian turut memaklumkan kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus, paras terendah dalam sedekad, manakala inflasi kekal sederhana pada 1.6 peratus.
MOF berkata, nilai ringgit terus kukuh sebagai antara mata wang berprestasi terbaik di Asia dengan pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM22.8 bilion pada S1 2026.
“Dalam menghadapi risiko gangguan rantaian bekalan global akibat konflik di Asia Barat, Kerajaan MADANI menubuhkan pasukan petugas pengurusan krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara bagi memantau perkembangan dan menyelaras tindak balas secara masa nyata,” katanya.
Menurut MOF, sehingga 14 Mei 2026, sebanyak RM15 bilion disediakan untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Keutamaan segera kita adalah untuk memastikan kestabilan ekonomi dan mengurangkan sebaiknya dampak luaran daripada krisis ini terhadap rakyat.
“Pada masa yang sama, Kerajaan MADANI kekal komited untuk meneruskan reformasi Ekonomi MADANI sambil memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada hasil yang nyata buat rakyat,” katanya.
MOF berkata, langkah-langkah itu akan terus memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, memastikan kesejahteraan rakyat serta kestabilan fiskal negara.








