PETALING JAYA: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama pelaburan strategik dalam sektor Mineral Nadir Bumi (REE), apabila dua syarikat gergasi iaitu JS Link Inc. dan Lynas Rare Earths merancang untuk menubuhkan loji pembuatan magnet bernilai RM600 juta di negara ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, projek usahasama antara JS Link dan Lynas Malaysia itu bertujuan membangunkan rantaian bekalan magnet nadir bumi yang mampan, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia dalam ekosistem bahan termaju dan teknologi bersih di peringkat global.
“Saya berbesar hati menyertai Perdana Menteri dalam pertemuan penting bersama JS Link Inc. dan Lynas Rare Earths di Gyeongju, Korea.
“JS Link, yang mahu membina rantaian bekalan magnet nadir bumi mampan, sedang meneroka projek usahasama (JV) dengan Lynas Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama strategik itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor teknologi hijau, malah selari dengan aspirasi negara untuk menjadi peneraju dalam pembangunan REE.
“Dengan Lynas, pengeluar nadir bumi terbesar di luar China, bekerjasama dengan JS Link, kita akan memastikan rantaian bekalan yang lebih selamat dan telus untuk mineral kritikal ini.
“Ini adalah satu lagi bukti keyakinan pelabur terhadap ekosistem industri kita yang teguh,” ujarnya.
Difahamkan, pertemuan berkenaan turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi dan pelaburan antara Malaysia dan rakan antarabangsa dalam bidang teknologi hijau serta tenaga masa depan.
Malaysia sebelum ini mengekalkan dasar larangan eksport mineral kritikal dan REE mentah bagi memastikan pembangunan industri hiliran berlaku dalam negara.
Menurut Tengku Zafrul, langkah itu penting untuk menjana nilai tambah domestik melalui penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pemindahan teknologi.
“Malaysia kini tidak mahu lagi menjadi negara yang hanya menggali dan menghantar keluar bahan mentah murah seperti yang berlaku suatu ketika dahulu,” katanya.
Beliau turut berkata, kerajaan menggalakkan pelaburan asing dan perkongsian teknologi dalam aktiviti perlombongan REE mentah sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan ekosistem industri yang lebih bersepadu dan berdaya saing.








