Malaysia akan terus komited memainkan peranannya di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan Israel ke atas Rafah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga akan menggerakkan ikhtiar bagi membantu penduduk Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.
Komitmen itu dinyatakan ketika beliau bertemu dengan delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh dan mantan pengerusi kumpulan itu, Khaled Mashal.

“Di sela-sela jadual lawatan rasmi yang padat di Qatar, saya mengambil kesempatan bertemu delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh seraya diapit oleh mantan pengerusi Khaled Mashal.
“Selain menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim zionis, saya menerima taklimat terkini situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan.
“Sejak konflik meletus lapan bulan yang lalu, ratusan ribu rakyat Palestin telah terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal kerana kekejaman rejim zionis,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Sementara itu, Anwar berkata Malaysia turut menghargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dan masyarakat antarabangsa.
Tambah beliau, Malaysia juga mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian.
Baca juga: