Malaysia mampu tangani gangguan ekonomi global lebih proaktif – Zeti

KUALA LUMPUR: Gangguan ekonomi akibat konflik bekalan tenaga global perlu ditangani secara segera dan tersusun bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam krisis yang lebih serius.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, keadaan ekonomi semasa lebih tepat disifatkan sebagai “gangguan” dan bukannya krisis, sambil menegaskan bahawa tadbir urus yang baik mampu membantu negara mendepani cabaran tersebut.

Menurut beliau, Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengharungi ketidaktentuan ekonomi global sekiranya persediaan dilakukan secara proaktif dan berasaskan pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.

“Negara perlu beroperasi dengan mengambil kira pelbagai potensi yang mungkin berlaku. Sama ada perang berakhir lebih awal atau terus berlarutan, kita perlu membuat persediaan mengenai tindakan yang akan diambil.

“Malaysia berpotensi untuk bertindak balas dengan cara terbaik bagi mengatasi cabaran yang dihadapi,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kedudukan Malaysia dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar susulan konflik geopolitik di Asia Barat.

Dalam pada itu, Zeti turut menegaskan bahawa cabaran semasa boleh diurus dengan lebih berkesan menerusi kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan pengguna.

Katanya, perubahan tingkah laku pengguna serta penyesuaian strategi perniagaan yang lebih dinamik amat penting bagi memastikan ekonomi domestik kekal berdaya tahan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar setiap langkah tindak balas diselaraskan dengan baik, selain menyarankan Majlis Tindakan Ekonomi Negara bersama sekretariat yang kukuh memainkan peranan aktif dalam meneliti setiap perkembangan semasa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat