Simen RAHMAH 2026: Kerajaan MADANI Ringan Kos Binaan Rumah Rakyat

PETALING JAYA: Dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu akibat konflik tenaga dunia, Kerajaan MADANI tampil dengan langkah berani memperkenalkan Inisiatif Simen RAHMAH 2026 bagi memastikan rakyat terus berpeluang memiliki rumah pada harga berpatutan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, inisiatif itu merupakan intervensi strategik kerajaan untuk mengekang kesan kenaikan harga minyak, kos pengangkutan dan bahan mentah yang telah menekan sektor pembinaan.

“Dalam suasana ekonomi yang mencabar ini, kerajaan mengambil pendekatan proaktif untuk memastikan impak terhadap rakyat dapat dikawal.

“Antara manfaat utama inisiatif Simen RAHMAH ini, simen pukal ditawarkan pada harga RM290 satu tan metrik berbanding harga pasaran RM425.

“Manakala simen kampit 50kg pula berharga RM17.50 berbanding RM24.90 di pasaran,” katanya satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Menurut beliau, penjimatan melalui inisiatif itu dianggarkan hampir 30 peratus bagi sektor pembinaan rumah mampu milik iaitu satu langkah yang diyakini mampu mempercepatkan projek perumahan rakyat di seluruh negara.

Difahamkan, program itu melibatkan kuota sehingga 1.6 juta tan metrik simen yang akan menyokong pembinaan kira-kira 500,000 unit rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Lebih penting, Malaysia berada dalam keadaan lebih bersedia berbanding negara lain di Asia Tenggara dalam menghadapi cabaran ekonomi global ketika ini,” katanya.

Aiman Athirah turut berkata, komitmen Kerajaan MADANI bukan sekadar menstabilkan ekonomi tetapi memastikan rakyat tidak menanggung beban secara sendirian.

“Rakyat boleh menilai sendiri. Kerajaan hari ini mungkin tidak sempurna tetapi arah tuju dan ikhtiar jelas iaitu membantu rakyat melalui dasar yang praktikal, bersasar dan berpijak pada realiti cabaran global,” katanya.

Anda Mungkin Berminat