Malaysia Perlu Amal Dasar Kerja Dari Rumah – AMK

PETALING JAYA: Malaysia diseru untuk segera mengamalkan dasar Kerja Dari Rumah (WFH) sebagai langkah strategik memastikan daya saing negara terus terpelihara di tengah ketidaktentuan geopolitik Asia Barat yang menggugat ekonomi dunia.

Dalam kenyataan media pada Isnin, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Munim berkata, WFH mampu mengurangkan tekanan terhadap subsidi bahan api negara khususnya ketika harga minyak global semakin tidak menentu.

“Ia bukan lagi satu eksperimen tetapi satu amalan global yang terbukti efisien.

“AMK mendesak agar sektor swasta berhenti bersikap skeptikal dan mula melihat potensi jangka panjang dalam ekonomi digital dan hibrid saat ini,” katanya.

Kamil Munim menekankan bahawa Malaysia tidak seharusnya ketinggalan kerana banyak negara di Eropah dan Asia Tenggara telah menjadikan WFH sebagai langkah segera menghadapi krisis tenaga.

“Malaysia tidak bersendirian dalam anjakan strategik ini.

“Di Eropah, menteri-menteri dan pegawai kerajaan sekali lagi menggesa rakyat untuk ‘skip the commute’ dan bekerja secara jarak jauh bagi menjimatkan penggunaan gas, malah menyamai dasar ketika krisis tenaga Rusia-Ukraine pada 2022.

“Di rantau Asia Tenggara, kerajaan Vietnam, Filipina dan Thailand turut mengeluarkan panduan rasmi yang meletakkan WFH sebagai langkah segera mendepani kemelut ini.

“Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., malah telah mengarahkan agensi kerajaan untuk mengamalkan WFH dan minggu kerja pendek bagi mengurangkan penggunaan tenaga sektor awam sehingga 20 peratus.

“Jelas sekali, fleksibiliti tempat kerja kini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai mekanisme pertahanan ekonomi yang efektif dalam menghadapi ketidaktentuan harga minyak dunia,” katanya.

Beliau turut memuji pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu yang menunjukkan keseriusan Kerajaan MADANI dalam merangka strategi pelbagai bagi menghadapi krisis Asia Barat.

“Pengumuman Perdana Menteri adalah langkah-langkah proaktif kerajaan untuk menjangka dan berhadapan risiko krisis Asia Barat dengan cermat.

“Justeru itu, tindakan kerajaan membatalkan kesemua majlis Rumah Terbuka Aidilfitri agensi kerajaan dan mengurangkan lawatan kerja menteri ke luar negara adalah manifestasi jelas kepada konsep ‘Pain Sharing’ (berkongsi beban).

“Kepimpinan negara telah memilih untuk memotong perbelanjaan keraian demi memastikan keselamatan ekonomi rakyat dan kestabilan harga barang di pasaran domestik terjamin,” katanya.

Sehubungan itu, AMK menyeru seluruh majikan dan sektor swasta agar turut serta dalam semangat nasionalisme ekonomi dengan melaksanakan dasar WFH secara bersasar.

“Usah kita terus terperuk dengan sikap lama tanpa kesediaan untuk berubah ke arah model operasi yang berani dan mampan.

“Lantaran itu, kami menggesa majikan untuk melaksanakan dasar WFH secara bersasar bagi tugasan yang tidak memerlukan kehadiran fizikal secara konsisten.

“Mengutamakan kebajikan pekerja dengan memberikan fleksibiliti untuk membantu mereka mengurus kos sara hidup di kawasan bandar,” katanya.

Kamil Munim turut berkata, kelangsungan ekonomi negara adalah tanggungjawab bersama setiap segmen masyarakat.

“AMK akan terus teguh mendukung langkah proaktif kerajaan untuk memastikan Malaysia kekal kental dalam mendepani apa jua cabaran global,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat