Malaysia Perlu Bersikap Neutral Secara Strategik, Jadi Perantara Antara Kuasa Besar

KUALA LUMPUR: Malaysia disarankan untuk menggunakan kedudukannya yang strategik antara Amerika Syarikat(AS) dan China bagi menangani kesan dasar tarif perdagangan global yang diumumkan oleh Amerika Syarikat pada 2 April lalu, menurut Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Dalam perbahasan khas di Dewan Rakyat hari ini, Wong menyifatkan tarif tersebut yang dikenakan antara 10 peratus hingga 145 peratus melibatkan lebih 90 buah negara sebagai sebahagian daripada percaturan geoekonomi Amerika Syarikat bagi menyekat kebangkitan ekonomi China.

Malaysia, sebagai negara yang bergantung tinggi kepada perdagangan antarabangsa serta mempunyai hubungan erat dengan kedua-dua kuasa besar ini, tidak boleh bersikap pasif dalam menghadapi realiti baharu ini.

“Tarif ini bukan sekadar instrumen ekonomi – ia adalah alat konfrontasi geopolitik.

“Malaysia perlu memahami strategi jangka panjang Amerika Syarikat, sambil memperkukuh hubungan perdagangan yang adil dan seimbang dengan China,” katanya.

Wong menekankan bahawa Malaysia perlu mengambil pendekatan neutral secara strategik dan seterusnya memainkan peranan sebagai perantara yang jujur (honest broker) dalam mendamaikan kepentingan kedua-dua pihak.

Amerika Syarikat merupakan pelabur terbesar dalam sektor teknologi tinggi negara, khususnya semikonduktor, manakala China pula merupakan rakan dagang terbesar dengan potensi pelaburan besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau.

Beliau turut mencadangkan supaya Malaysia menjalinkan kerjasama lebih erat dengan Amerika Syarikat dari segi penguatkuasaan peraturan perdagangan seperti ‘Rules of Origin’, serta memperkenalkan kerjasama kawal selia dalam penyebaran teknologi AI.

Dalam masa yang sama, hubungan dagangan dengan China perlu terus diperkukuh terutama dalam bidang yang selari dengan agenda pembangunan mampan negara.

Kenyataan beliau memberi isyarat bahawa keupayaan Malaysia untuk kekal kompetitif bergantung bukan sahaja kepada respons terhadap krisis semasa tetapi juga kepada keberanian melakukan reformasi struktur yang sebenar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan perkembangan terkini berkenaan tarif Amerika Syarikat dalam Sidang Khas Parlimen, hari ini.

Anda Mungkin Berminat