Malaysia Perlu Tinggalkan Kaedah Lama Untuk Terus Maju – Anwar

PETALING JAYA: Malaysia tidak akan mampu mencapai pertumbuhan ekonomi lebih baik sekiranya masih terikat dengan dasar dan pendekatan lama dalam pentadbiran serta pengurusan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perubahan merupakan keperluan penting dalam memastikan negara terus berkembang seiring dengan perkembangan global, namun pelaksanaannya mesti disertai keikhlasan dan kesungguhan bagi menjamin keberkesanan dasar yang diperkenalkan.

“Sekiranya negara mahu memacu pertumbuhan dan menetapkan kedudukan yang lebih baik, kita tidak boleh kekal dengan kaedah lama. Ada yang baik boleh diteruskan, tetapi perubahan itu penting,” katanya ketika berucap di Ucaptama Forum Ilmu PNB 2025 pada Selasa.

Anwar berkata, perubahan bukan sekadar slogan seperti ‘paradigm shift’ atau ‘reform’, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan hasil nyata yang memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi negara.

Beliau turut memberi contoh bagaimana beberapa dasar yang diperkenalkan sebelum ini gagal mencapai matlamat kerana tidak dilaksanakan secara menyeluruh, menyebabkan perubahan yang diharapkan tidak berlaku seperti yang dirancang.

“Perubahan mesti datang daripada kejelasan dasar serta kesediaan pemimpin politik, penjawat awam dan sektor swasta untuk benar-benar menerima serta melaksanakan pembaharuan,” ujarnya.

Anwar turut menekankan kepentingan semangat ‘creative destruction’ seperti yang digariskan ahli ekonomi terkenal Joseph Schumpeter, iaitu keberanian menamatkan pendekatan usang demi memberi ruang kepada inovasi dan kemajuan baharu.

Sejak menerajui Kerajaan MADANI, Anwar giat menekankan keperluan reformasi struktur ekonomi serta pembaharuan tadbir urus sebagai teras utama pembangunan negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat