KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dan mesyuarat dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri Persekutuan Rusia, Alexey Overchuk, dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Rusia.
Pertemuan itu berlangsung dengan kedua-dua pihak membincangkan pelbagai bidang dan ia satu langkah penting ke arah mempertingkat hubungan ekonomi dua hala.
“Saya turut mengadakan pertemuan dan mesyuarat dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri Persekutuan Rusia Alexey Overchuk dalam kerangka memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Rusia.
“Kami bicara mengenai pendidikan, perdagangan dan pelaburan termasuk usaha memudahcara urusan pembayaran rentas sempadan” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, kerjasama dalam sektor tenaga turut menjadi tumpuan dengan kedua-dua negara menyatakan komitmen untuk meneroka sumber tenaga yang lebih cekap dan mampan selaras dengan aspirasi global ke arah kelestarian.
“Kami juga berbincang mengenai potensi peluasan laluan penerbangan Rusia ke Malaysia bagi meningkatkan aliran kemasukan pelancong,” katanya.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar berkata, Malaysia menegaskan komitmen untuk terus memperkasa hubungan dengan Rusia berteraskan prinsip saling hormat dan manfaat bersama, sambil mengangkat suara dan kepentingan rantau Asia Tenggara di persada global.
“Justeru, Malaysia akan terus menggalakkan pemerkasaan hubungan dengan Rusia berteraskan prinsip saling hormat dan manfaat bersama, seiring peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam mengangkat suara, keseimbangan dan kepentingan rantau ini di persada global,” katanya.








