Malaysia sokong pelan damai 10 perkara Iran-AS, puji diplomasi Pakistan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik perkembangan terkini berhubung konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, khususnya cadangan pelan damai 10 perkara yang dikemukakan oleh Iran dan diterima secara positif oleh AS.

Beliau berkata cadangan itu memberi harapan kepada pemulihan keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di rantau Timur Tengah, malah memberi impak positif kepada seluruh dunia.

“Rundingan ini diharap dijalankan dengan niat baik dan komitmen untuk mencari penyelesaian jangka panjang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Anwar menegaskan bahawa rundingan tidak akan berjaya jika berasaskan penipuan atau kepentingan berganda, dan semua pihak perlu menghormati proses yang telus dan adil.

“Cadangan pelan damai 10 perkara ini membuka ruang untuk pemulihan keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di rantau Timur Tengah, malah memberi impak positif kepada seluruh dunia” katanya.

Dalam masa sama, Anwar turut menekankan kepentingan menghentikan penindasan dan genosid terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza.

“Pelan 10 perkara itu perlu diterjemahkan kepada perjanjian damai menyeluruh, bukan sahaja untuk Iran, tetapi juga untuk Iraq, Lebanon dan Yemen, serta menghentikan penindasan terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza,” tambahnya.

Beliau turut merakamkan tahniah dan penghargaan kepada Pakistan serta Perdana Menteri Shehbaz Sharif atas diplomasi berani dan gigih yang membantu mencapai titik penting ini.

“Malaysia bersedia menyokong dan melengkapkan segala usaha berkaitan, dan dunia tidak mampu menerima sebarang kegagalan dalam usaha mencapai perdamaian,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat