PETALING JAYA: Malaysia menyatakan sokongan kuat kepada pembangunan belia dalam sektor ekonomi dan keusahawanan semasa Sesi ke-21 Mesyuarat Majlis Menteri Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) di Kaherah, Mesir.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyampaikan kenyataan tersebut bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, dunia kini berhadapan dengan belia yang hidup pada zaman kecerdasan buatan (AI), berinovasi dan teknologi terkini.
Beliau menekankan pentingnya pendidikan seimbang yang menyepadukan kecanggihan teknologi dengan nilai moral dan etika.
Beliau juga menegaskan peranan penting Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) dalam daya tahan ekonomi dan inovasi dengan mencadangkan pengukuhan SME dan kerjasama rentas sempadan dalam industri baru.
“Sifat ihsan dan berperikemanusiaan harus kekal sebagai teras sistem pendidikan kita, kerana masyarakat yang kehilangan nilai-nilai ini adalah masyarakat yang hanyut. Ini juga yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“SME (Perniagaan Kecil dan Sederhana) adalah tulang belakang daya tahan ekonomi dan inovasi.
“Dalam rangka kerja D-8, pengukuhan SME dan memupuk kerjasama rentas sempadan dalam industri baru seperti ekonomi halal, perniagaan tani, teknologi hijau dan penyelesaian digital antara negara ahli D-8 boleh membuka peluang yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Jumaat.
Mesyuarat tersebut mencapai kata sepakat menyokong Deklarasi Kaherah bertemakan ‘Investing in Youth and Supporting SMEs: Shaping Tomorrow’s Economy’.
Selain itu, Malaysia turut membangkitkan isu di beberapa negara Timur Tengah seperti Palestin, Lubnan, dan Syria, dengan menekankan komitmen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menghentikan penderitaan akibat tindakan rejim Zionis.