JEDDAH: Malaysia sambut baik rancangan pemulihan dan pembinaan semula Gaza serta menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi memastikan kesejahteraan rakyat Palestin.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri OIC di Ibu Pejabat OIC, Jeddah, semalam menekankan bahawa bantuan berterusan diperlukan bagi membangunkan semula infrastruktur yang musnah akibat serangan berterusan.
“Malaysia bersedia memainkan peranan aktif dalam usaha ini, termasuk melalui kerjasama dengan negara anggota OIC dan organisasi kemanusiaan antarabangsa,” katanya, memetik Facebook Wisma Putra hari ini.
Beliau turut menggesa agar komuniti antarabangsa tidak sekadar memberikan bantuan jangka pendek, tetapi turut merangka pelan pembangunan yang mampan bagi membolehkan rakyat Palestin meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Dalam mesyuarat itu, Malaysia turut menolak sebarang cubaan pengilhakan Gaza serta pemindahan paksa rakyat Palestin ke negara jiran seperti Mesir dan Jordan.
Hasan menegaskan bahawa tindakan itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan mencabuli hak asasi rakyat Palestin.
Mesyuarat tergempar ini diadakan bagi membincangkan situasi kritikal di Gaza, termasuk ancaman pengilhakan serta langkah-langkah pemulihan pasca-konflik.
Malaysia sekali lagi menegaskan solidaritinya dengan rakyat Palestin dan komitmen berterusan dalam memperjuangkan hak mereka di peringkat antarabangsa.