Malaysia sokong usaha gencatan senjata di Asia Barat

PETALING JAYA: Malaysia sedia menyokong sebarang usaha diplomatik bagi mencapai gencatan senjata susulan konflik yang semakin memuncak di rantau Asia Barat dan Teluk, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Malaysia menyokong usaha diplomasi untuk meredakan ketegangan dan memulihkan keamanan di rantau berkenaan, sambil menegaskan pintu dialog perlu terus dibuka walaupun konflik semakin memuncak.

“Selaras dengan pendirian berprinsip yang disepakati Parlimen Malaysia, saya mengalu-alukan seruan untuk menahan diri yang muncul daripada kepimpinan tertinggi di Iran ketika konflik di rantau Teluk dan Asia Barat masih berlanjutan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Menurutnya, seruan sedemikian perlu dipandang serius dan dihormati walaupun terdapat pihak yang menggesa tindak balas lebih keras.

“Sejarah jarang memihak kepada mereka yang memilih peningkatan konflik berbanding rundingan ketika pintu dialog masih terbuka.

“Mengekalkan ruang dialog memerlukan keberanian sebenar,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar berkata keadaan semasa amat membimbangkan apabila beberapa negara di rantau itu terus menjadi sasaran serangan.

Beliau berkata negara seperti Bahrain, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu dilaporkan berdepan serangan berulang, selain keganasan turut merebak ke Azerbaijan, Jordan dan Turkiye.

Katanya, beberapa infrastruktur penting termasuk kemudahan tenaga, bekalan air dan sistem asas lain yang menjadi keperluan jutaan penduduk turut menjadi sasaran serangan.

“Laluan minyak dan perkapalan dunia melalui perairan ini. Sebarang gangguan akan memberi kesan jauh melangkaui rantau berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera dan bertanggungjawab bagi mengelakkan konflik berkenaan terus memuncak serta meragut lebih banyak nyawa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat