PUTRAJAYA: Malaysia menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan berniat jahat yang menyalah tafsirkan sokongan negara terhadap perjuangan rakyat Palestin, tegas Kementerian Luar dalam satu kenyataan rasmi.
Menurutnya, pendirian Malaysia kekal konsisten sejak merdeka iaitu memperjuangkan keamanan, keadilan dan kebebasan sejagat, selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan prinsip undang-undang antarabangsa.
“Sejak merdeka, dasar luar Malaysia berpaksikan prinsip menolak penjajahan, pendudukan asing, pelanggaran undang-undang antarabangsa serta dasar apartheid,” menurut kenyataan itu.
Sokongan Malaysia terhadap Palestin bukan sekadar isu politik tetapi berakar daripada prinsip kemanusiaan yang universal.
Wisma Putra berkata, ia merangkumi hak rakyat Palestin untuk hidup bebas, merdeka dan berdaulat.
“Malaysia akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan serta mendukung penubuhan sebuah negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” jelas kenyataan itu lagi.
Kementerian Luar turut menekankan bahawa akauntabiliti adalah kunci kepada keamanan berkekalan.
Katanya, rejim Zionis Israel mesti dipertanggungjawabkan atas jenayah berterusan terhadap rakyat Palestin.
Malaysia terus lantang menyuarakan solidariti di pelbagai pentas antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), PBB dan Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan kekal menyokong penyelesaian dua negara yang diiktiraf dunia.