PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menerima kunjungan rasmi Presiden Timor-Leste, Dr. Jose Ramos-Horta di kediaman beliau.
Pertemuan ini sekali gus mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dan persahabatan erat antara kedua-dua negara.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Perdana Menteri memaklumkan bahawa perbincangan bersama Presiden Ramos-Horta tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik yang memberi manfaat bersama.
“Kami turut menyatakan sokongan terhadap aspirasi Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN.
“Malaysia komited untuk terus memainkan peranan konstruktif dalam menyokong proses integrasi serantau demi kestabilan dan kemakmuran bersama,” kata beliau.
Kunjungan ini mencerminkan kepercayaan dan keakraban antara Malaysia dan Timor-Leste, khususnya dalam mendepani cabaran serantau secara kolektif melalui pendekatan MADANI.
Dr Ramos-Horta, penerima Hadiah Nobel Keamanan 1996, merupakan antara pemimpin penting dalam usaha pembinaan negara Timor-Leste pasca kemerdekaan dan giat memperkukuh hubungan antarabangsa sejak beliau menyandang jawatan Presiden.
Baca juga: