Malaysia Tunjangi Sidang Kemuncak Digital ASEAN: Kepercayaan, Inovasi Serantau Jadi Fokus

KUALA LUMPUR: Malaysia melakar sejarah sebagai tuan rumah Digital Nation Summit Kuala Lumpur (Edisi ASEAN) yang julung kali dianjurkan bersama GSMA, bersempena peranan sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Bertempat di The Westin Kuala Lumpur, sidang kemuncak itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, pengawal selia, pemain industri dan rakan serantau untuk membincangkan masa depan digital rantau ini.

Dalam ucaptamanya, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menegaskan tiga teras utama yang akan memacu agenda digital ASEAN iaitu kepercayaan, inovasi dan kerjasama serantau.

“Kepercayaan digital adalah kunci untuk melindungi rakyat dan memperkukuh keyakinan terhadap ekosistem digital,” katanya.

Beliau berkata, kepercayaan digital mesti dibina atas asas tadbir urus data, keselamatan siber dan kerangka perundangan yang progresif termasuk Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

Menurut beliau, kempen advokasi keselamatan internet yang telah menjangkau lebih 150,000 rakyat turut menjadi bukti komitmen Malaysia dalam memperkukuh literasi digital.

Teras kedua, menurut Teo, ialah inovasi sebagai pemacu utama ekonomi digital ASEAN yang kini bernilai RM1.26 trilion dan dijangka melebihi RM4.20 trilion menjelang 2030.

Di Malaysia katanya, inisiatif seperti Geran Digital PMKS Madani, JENDELA dan peluasan rangkaian 5G telah memperkasa komuniti serta perniagaan kecil dan sederhana.

“Liputan 5G negara kini telah mencapai 82.4 peratus kawasan berpenduduk,” jelas beliau, sambil menekankan kedudukan Malaysia sebagai peneraju transformasi digital serantau.

Tambah beliau, teras ketiga pula menumpukan kepada kerjasama serantau yang lebih erat dan inklusif.

Teo berkata, Malaysia menyatakan sokongan terhadap peluasan siri GSMA M360 ke ASEAN pada 2026, selaras dengan aspirasi Visi ASEAN 2045.

“Sidang kemuncak ini adalah permulaan kepada bab baharu pembinaan negara digital ASEAN yang dipacu kepercayaan, berkembang melalui inovasi dan maju bersama,” katanya.

Anda Mungkin Berminat