Malaysia-Turkiye perkukuh hubungan strategik pendidikan tinggi

PETALING JAYA: Malaysia bersama Turkiye mencipta satu lembaran baharu sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik dalam sektor pendidikan tinggi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia-Turkiye (Joint Committee Meeting) yang pertama berkaitan pendidikan tinggi bersama Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye, Profesor Erol Ozvar, hari ini.

Menurut Zambry, penganjuran mesyuarat yang diadakan buat julung kalinya itu adalah berdasarkan kepada komitmen bersama kedua-dua negara bagi memperkukuh dan mempelbagaikan lagi bentuk kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.

“Mesyuarat tersebut berlangsung bersempena Sidang Kemuncak Pendidikan Eurasia (EURIE) 2025 di Istanbul yang turut disertai oleh barisan pengurusan tertinggi pendidikan Malaysia dan Turkiye, termasuk beberapa Naib Canselor dan Rektor universiti dari kedua-dua negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Zambry turut memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut telah menggariskan beberapa ketetapan penting yang telah dibincangkan dan dipersetujui bersama antaranya Penubuhan Jawatankuasa Kerja Khas Bersama yang terdiri daripada wakil-wakil pegawai kanan kedua-dua negara.

“Selain itu, pelaksanaan pembiayaan bersama projek penyelidikan dalam bidang-bidang strategik yang akan dikenalpasti serta latihan dan pembangunan kapasiti untuk pegawai kerajaan, pensyarah, penyelidik dan pelajar dari kedua-dua negara.

“Dalam pada itu, mesyuarat itu turut melaksanakan perbincangan lanjut mengenai penawaran biasiswa agar dapat dimanfaatkan secara lebih berkesan oleh pelajar Malaysia dan Türkiye,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia bersama-sama Turkiye bakal memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi politeknik dengan tumpuan kepada kemahiran utama yang menjadik keutamaan kedua-dua negara itu khususnya di dalam bidang maritim, kejuruteraan dan teknologi.

Katanya lagi, Mesyuarat Jawatankuasa bersama turut berjaya mencapai persefahaman dalam memperluaskan lagi ruang perbincangan serta kerjasama dalam aspek-aspek yang membawa manfaat besar kepada pembangunan pendidikan tinggi kedua-dua negara.

Sehubungan dengan itu, kementeriannya yakin bahawa langkah itu akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi berimpak tinggi termasuk pemindahan ilmu, penyelidikan bersama dan pembangunan bakat pada skala global.

Anda Mungkin Berminat