Malaysia upaya kesan ejen perisik asing dan pengintip masuk sempadan negara – Menteri

Oleh: Tyah Helmi

PARLIMEN: Malaysia mempunyai keupayaan dan teknologi yang kukuh bagi mengesan segala aktiviti ejen perisikan asing mahupun pengintip yang mahu masuk ke dalam negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata bahagian cawangan khas Kementeriannya sentiasa melaksanakan langkah wajar dalam mengekang potensi ancaman perisikan asing di negara ini.

Saifuddin turut mengakui bahawa kehadiran ejen perisikan asing dan pengintip adalah untuk mendapatkan maklumat sulit bagi tujuan dan kepentingan tertentu merupakan satu potensi ancaman yang serius khususnya dari sudut geopolitik negara.

“Perisikan mempunyai modus operandi tersendiri seperti mengenal pasti sasaran, mengumpul maklumat profil, mengkaji struktur organisasi, merekrut orang dalam atau memasuki negara atas alasan pelancongan.

“Dalam beberapa kes, orang dalam digoda dengan ganjaran, direkrut melalui ugutan atau dipengaruhi oleh ideologi.

“Perisikan siber pula membabitkan capaian maklumat melalui rangkaian tersembunyi, pemasangan perisian hasad atau perisian intip, serta mencuri data secara berperingkat sebelum dihantar kepada pengendali mereka,” katanya di Sidang Parlimen pada Khamis.

Dalam pada itu katanya, negara mengamalkan tiga langkah utama dalam menangani ancaman berkenaan iaitu pencegahan, pengesanan dan penguatkuasaan.

Sebagai contoh, katanya, terdapat kes membabitkan Nidarahayu Zainal yang direkrut perisikan Israel untuk menculik dua lelaki Palestin pada 28 September 2022.

“Dia berjaya diberkas, mangsa diselamatkan dan kini Nidarahayu sedang dibicarakan. Kes ini jelas menunjukkan modus operandi bertujuan pengintipan politik kerana direkrut oleh ejen Mossad.

“Kerajaan akan terus melaksanakan langkah pencegahan strategik bagi menangani ancaman pengintipan meliputi pemantauan, kerjasama antara agensi dan perkongsian risikan antarabangsa bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara.

“Dalam masa yang sama, tindakan perundangan bersesuaian akan diambil terhadap ejen perisikan ini jika didapati bersalah,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat