MALBATT 850-13 Mantap Kesiapsiagaan Di Zon Konflik Lubnan

PETALING JAYA: Dalam suasana penuh waspada di zon konflik, pasukan MALBATT 850-13 terus memperkukuh keupayaan operasi dan ketahanan rohani demi memastikan mandat United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) dapat dilaksanakan dengan penuh disiplin dan profesionalisme.

Timbalan Komander MALBATT 850-13, Lt Kol Zain Azrai Karia bersama kepimpinan dan staf pasukan, menekankan kepentingan penyelenggaraan aset utama termasuk persenjataan, sistem komunikasi, kenderaan serta bangunan penginapan.

Pemeriksaan rapi turut dilaksanakan terhadap kemudahan ‘force protection’ seperti ‘bunker’, pos pemerhati dan pos pertahanan bagi menjamin keselamatan warga pasukan.

Selain aspek fizikal, pembangunan ilmu dan ‘situational awareness’ menjadi agenda utama.

Pelbagai kelas serta latihan ulangan diadakan bagi memastikan setiap anggota benar-benar memahami peranan mereka sebagai pasukan pengaman.

Tidak ketinggalan, pendekatan kerohanian terus menjadi teras ketahanan mental dan emosi.

Aktiviti seperti solat berjemaah, solat hajat, bacaan ma’thurat dan kelas agama dilaksanakan secara konsisten, memperkukuh semangat anggota meskipun berdepan suasana yang tidak menentu.

Dengan gabungan disiplin operasi, latihan berterusan dan pengisian rohani, MALBATT 850-13 bertekad melaksanakan setiap misi dengan penuh komitmen, profesionalisme serta nilai-nilai murni sebagai anggota pengaman UNIFIL.

Anda Mungkin Berminat