MAPIM Lancar 1000 Kapal Flotilla, Tindak Balas Global Kekejaman Israel

PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan inisiatif kemanusiaan bertaraf global, ‘1000 Flotilla’, sebagai usaha untuk memecah kepungan ke atas Gaza dan menyalurkan bantuan terus ke wilayah tersebut.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, inisiatif itu merupakan kebangkitan berskala besar membabitkan rakyat antarabangsa untuk mencabar sekatan maritim haram oleh Israel.

Menurutnya, pelancaran itu dibuat susulan tindakan Israel yang menahan serta menculik aktivis dan kapal bantuan Madleen yang dalam perjalanan ke Gaza.

“Israel bukan sahaja menyerang Gaza, malah kini menyerang hati nurani dunia.

“Rampasan kapal Madleen membuktikan bahawa tiada suara yang selamat daripada kekejaman rejim Zionis, walaupun suara tersebut datang daripada aktivis aman seperti Greta,” katanya.

Menurut beliau, ‘1000 Flotilla’ adalah evolusi bantuan kemanusiaan yang menggerakkan kapal-kapal dari pelabuhan seluruh dunia untuk berkumpul di perairan antarabangsa sebelum berlayar ke Gaza.

“Kita akan bina bukan satu, tetapi seribu kapal. Kita akan belayar bukan sekali, tetapi sehingga Gaza dibebaskan.

“Semua kapal hanya akan membawa muatan bantuan kemanusiaan dan dikendalikan sepenuhnya mengikut undang-undang laut antarabangsa, disertai wartawan, peguam, dan pemerhati bebas,” ujarnya.

MAPIM turut mengemukakan beberapa tuntutan, antaranya penghapusan sekatan haram ke atas Gaza, pendakwaan jenayah perang oleh Israel mengikut undang-undang antarabangsa dan pembebasan segera aktivis Sweden Greta Thunberg dan kru Madleen.

MAPIM menyeru masyarakat global termasuk pertubuhan kemanusiaan, kesatuan sekerja, komuniti keagamaan, pelajar, artis, dan kerajaan dari negara-negara Selatan Global agar menyumbang kapal, kru, bekalan ubat, makanan dan solidariti kemanusiaan.

“Satu mesyuarat penyelarasan antarabangsa akan diadakan dalam tempoh 30 hari bagi memulakan pelayaran fasa pertama 1000 Flotilla dalam masa dua bulan akan datang.

“Gaza adalah tanggungjawab kita. Madleen ialah anak kita. Gaza adalah amanah kita.

“Kami tidak akan benarkan genosid menjadi norma. Setiap kapal yang berlayar menyatakan: Gaza tidak keseorangan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyertaan, sumbangan atau penganjuran mesyuarat serantau, orang awam boleh hubungi talian 019-4744856.

Anda Mungkin Berminat