Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memberikan diskaun sewaan sebanyak 20 peratus ke atas premis-premis perniagaan di bawah seliaan agensi itu, sebagai langkah meringankan beban usahawan.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan susulan cabaran ekonomi dan peningkatan kos tenaga yang dihadapi ketika ini.
Menurut beliau, peminjam yang benar-benar terkesan boleh hadir ke pejabat MARA di seluruh negara bagi tujuan penstrukturan semula pembiayaan.
“Mana-mana peminjam yang menghadapi kesukaran dalam situasi krisis ekonomi dan tenaga ketika ini dibenarkan hadir ke pejabat MARA untuk membuat penstrukturan semula,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan semua peminjam dan penerima manfaat skim pembiayaan MARA yang berdepan masalah aliran tunai digalakkan untuk berunding dengan pegawai agensi berkenaan.
Ujar beliau, sesi perbincangan boleh dilakukan di pejabat MARA di peringkat daerah dan negeri, atau terus di Ibu Pejabat MARA di Kuala Lumpur.
Langkah itu dilihat sebagai usaha berterusan MARA dalam memastikan kelangsungan perniagaan usahawan serta membantu mereka menghadapi tekanan kewangan semasa.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar agensi kerajaan menurunkan kadar sewa premis perniagaan sebagai langkah segera membantu meringankan beban peniaga tempatan.
Baca juga:








