PETALING JAYA: Dalam usaha memperkukuh disiplin dan keselamatan pelajar, Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah melantik bekas anggota tentera dan polis sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kumpulan pertama warden beruniform itu akan memulakan tugas di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau bermula Isnin ini.
Menurut beliau, pelantikan itu merupakan inisiatif baharu MARA bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan bebas daripada isu buli serta salah laku disiplin.
“Warden-warden ini telah melalui tapisan ketat termasuk sesi temuduga komprehensif bagi memastikan mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan MARA,” katanya selepas menyampaikan amanat kepada kumpulan pertama warden berkenaan, hari ini.
Dr Asyraf berkata, asrama MRSM bukan sekadar tempat tinggal, tetapi ‘rumah kedua’ bagi pelajar, di mana ruang penting untuk membentuk sahsiah, adab hidup bermasyarakat, pengurusan masa, amanah dan tanggungjawab.
“Peranan warden bukan sekadar menjaga rutin harian tetapi sebagai pendidik watak dan ibu bapa kedua yang memastikan keselamatan terjaga, disiplin terbina serta kasih sayang dibudayakan.
“Tiada toleransi terhadap salah laku, namun pendekatannya mendidik, memulih dan adil,” katanya.
Beliau yakin pelantikan warden beruniform itu mampu menjadikan MRSM sebagai model sekolah berasrama nasional yang selamat, berdisiplin, beradab dan membahagiakan.