KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar kira-kira 6,000 liter petrol ke negara jiran selepas menahan sebuah bot pam di perairan Kudat dalam operasi awal pagi Ahad.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot berkenaan dikesan hasil maklumat risikan daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah ketika pasukan sedang melaksanakan beberapa operasi termasuk Op Sejahtera, Op Tiris, Op Pluto Timur dan Op Cegah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Menurut beliau, sekitar pukul 1.00 pagi, sebuah bot pam yang bergerak perlahan dan mencurigakan dikesan pada jarak kira-kira 1.5 batu nautika dari Tanjung Kalutan, Balambangan sebelum aset ronda Bot KILAT 48 diarahkan ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.
“Ketika bot ronda menghampiri bot suspek, tiga individu yang berada di atas bot bertindak terjun ke laut cetek dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran,” katanya.
Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan mendapati ia membawa 25 tong plastik berwarna biru berisi petrol dengan anggaran keseluruhan kira-kira 6,000 liter.
“Muatan bahan api tersebut dipercayai dibawa tanpa permit yang sah dan disyaki untuk tujuan pasaran gelap atau diseludup ke negara jiran berhampiran,” katanya.
Hasbullah memaklumkan, bot pam bersama muatan petrol yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM60,000 dan telah dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran atau permit sah.
Dalam pada itu, Zon Maritim Kudat menyeru orang awam khususnya komuniti maritim agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim melalui Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.








