Maritim Malaysia Gagalkan Penyeludupan Barangan Kawalan Di Semporna

SEMPORNA: Usaha sindiket untuk menyeludup barangan kawalan dan runcit di perairan Semporna awal pagi tadi berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Tangkapan itu dilakukan oleh Ibu Pejabat Maritim Zon Semporna selepas menahan sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran yang bertindak melarikan diri ketika rondaan dijalankan.

Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 4.20 pagi ketika aset Bot Banggi 09 melaksanakan rondaan bersepadu menerusi Ops Sejahtera, Op Khas Cegah PATI (OCP) Covid-19 Sektor Timur dan Op Tiris 4.0.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot pam terbabit bertindak memecut laju bagi melarikan diri, namun kecekapan anggota Maritim Malaysia berjaya memintas bot berkenaan kira-kira 25 minit kemudian di kedudukan 0.1 batu nautika Timur Laut Kampung Bangau-Bangau.

“Bagaimanapun, juragan bot terbabit nekad terjun ke dalam laut dan berjaya melarikan diri ke kawasan perumahan atas air di kampung berkenaan bagi mengelakkan diri daripada ditahan,” katanya.

Beliau berkata, maklumat awal menunjukkan sindiket beroperasi pada waktu awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Walau bagaimanapun, hasil kesiapsiagaan dan maklumat risikan Ibu Pejabat Maritim Zon Semporna, kita berjaya mematahkan cubaan ini,” tegasnya.

Pemeriksaan lanjut ke atas bot berwarna kelabu itu menemukan pelbagai barangan yang cuba diseludup, antaranya tujuh tong gas, lima tong ‘jerry can’ berisi petrol, 10 beg beras seberat 10 kilogram pelbagai jenama, 14 tin cat lima liter, sembilan tin cat satu liter serta sebuah tong ikan berwarna merah.

Kesemua rampasan termasuk bot dan enjin ditunda ke Jeti Kem Azumi, Semporna sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.

Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang negara khususnya membabitkan penyeludupan barangan kawalan keluar dari sempadan kita.

“Kami juga memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah di laut untuk segera menyalurkannya kepada kami di Ibu Pejabat Maritim Zon Semporna,” ujar beliau.

Anda Mungkin Berminat