Polis Buru Tiga Lelaki Asing Disyaki Cederakan Pemandu E-Hailing

ISKANDAR PUTERI: Polis sedang giat mengesan tiga lelaki dipercayai warga asing yang disyaki mencederakan seorang pemandu e-hailing selepas tidak berpuas hati ditegur kerana membuat bising dalam kejadian di Taman Tan Sri Yaakob, Skudai, Selasa lalu.

Insiden itu tular di media sosial apabila rakaman video berdurasi sembilan saat memaparkan aksi pergaduhan berkenaan dimuat naik di Facebook.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun, pada pukul 11.09 pagi kelmarin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengambil tiga penumpang lelaki kira-kira pukul 9.30 malam pada hari kejadian.

“Semasa dalam perjalanan, mangsa menegur ketiga-tiga penumpang itu kerana dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan membuat bising di dalam kenderaan.

“Suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan teguran tersebut sebelum bertindak menyerang dan mencederakan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Kumarasan, ketiga-tiga suspek masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486.

Anda Mungkin Berminat