Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Perak merampas 57 set bubu naga atau bubu kambang di Pulau Talang, Perak di dua lokasi berbeza.
Tangkapan tersebut dibuat di sekitar 3.3 batu nautika dari barat Pulau Talang pukul 2.20 petang pada Selasa dan sekitar 4.4 batu nautika dari barat daya pulau yang sama pada pukul 12.05 tengah, Rabu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, anggota bot ronda Maritim mengesan bendera berwarna merah dan hijau mencurigakan terapung di permukaan air yang diikat pada pancang kayu.
Anggota rondaan berkenaan mengesyaki bahawa ia adalah penanda kepada bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.
“Bubu yang berukuran lebih kurang 10 meter panjang setiap satu yang dipasang secara berangkai ini dikesan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melaksanakan Ops Sayong / Ops Pintas.
“Hasil rampasan bubu naga tersebut dianggarkan bernilai RM4,000 dan pemilik bubu naga tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, Maritim Perak turut menegaskan untuk menggandakan lagi rondaan dan tidak berkompromi dalam mengenakan tindakan ke atas pesalah di kawasan perairan dalam negara.
Baca juga: