Masalah kesihatan punca kes tertinggal anak dalam kereta – Pakar

Kecuaian boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor termasuk banyak berfikir, banyak membuat tugasan dalam suatu masa, mempunyai banyak masalah, tidak memberikan penumpuan atau fokus sepenuhnya dan boleh berpunca daripada kurang sokongan daripada pasangan atau keluarga.

Oleh yang demikian, individu yang mengalami masalah berkenaan boleh menjadi kemurungan serta boleh membuatkan emosi terganggu dan tidak menentu sekali gus mengganggu masalah kesihatan mental.

Menurut Pengasas dan Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar, beliau sebagai seorang yang bergelar ibu juga sudah semestinya tidak mahu perkara yang tidak baik berlaku pada anak sendiri.

“Saya juga pasti ibu bapa yang cuai itu tidak berniat sama sekali untuk meninggalkan atau terlupa anak mereka yang berada di dalam kereta. Mana mungkin ada ibu bapa yang sengaja ingin meninggalkan anak sebegitu sahaja.

“Saya berharap kita jangan cepat atau mudah menghukum tetapi sebaliknya membantu agar perkara tersebut tidak akan berlaku lagi.

“Perkara ini juga sama seperti kes ibu bapa kehilangan anak di pusat beli-belah dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi oleh Malaysia Bangkit, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Anita juga menekankan bahawa sebagai ibu bapa kita perlulah memikul tanggungjawab tersebut kerana tindakan itu sama sekali adalah tidak wajar.

Katanya, anak adalah tanggungjawab kepada ibu bapa untuk dilindungi dan memastikan keselamatan anak-anak lebih terjamin.

Tambah Anita lagi, antara salah satu faktor kecuaian adalah stres dan tekanan hidup.

“Sebagai contoh, faktor sosioekonomi. Bagi mereka yang datang daripada golongan kurang berkemampuan, mungkin ada sesetengah ibu bapa perlu menanggung banyak bebanan kerja sehingga melakukan dua pekerjaan,” katanya.

Oleh itu, katanya, apabila seseorang berada dalam keadaan tekanan, fikiran mereka akan terganggu dan lupa tentang keberadaan anak sendiri bersama mereka dan perkara itu bukanlah alasan untuk meninggalkan anak tetapi mempunyai faktor luaran yang boleh membawa mereka ke arah itu.

Sementara itu, Mohd Al Mahdi Hussain sebagai Kaunselor Profesional Bertauliah dan Pensyarah Unit Bimbingan Kaunseling Psikologi UNITAR berkata, satu idea yang boleh dipraktikkan ialah apabila kita meletakkan anak kita di dalam kereta, sebuah telefon bimbit turut perlu diletakkan bersama.

“Jika kita tinggalkan satu barang peribadi, kita mesti nak ambilnya dengan cepat dan satu peringatan juga buat kita dengan keberadaan anak kita di dalam kereta.

“Pendapat saya juga, tindakan undang-undang itu penting sebab kadang-kadang segelintir ibu bapa ini, tidak berapa peduli dengan anak sampai menjadi punca pengabaian dan sebagainya.

“Berikan hukuman setimpal kerana perkara tersebut tidak boleh dipandang enteng sekali gus memberikan pengajaran juga kepada ibu bapa diluar sana,” katanya.

Beliau juga sempat menitipkan beberapa nasihat untuk dijadikan pedoman, antaranya, memperbanyakkan kempen berkenaan isu berkaitan kecuaian ibu bapa dan perkara ini secara tidak langsung boleh mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati dan mengambil berat tentang isu kecuaian yang berlaku.

Pada 8 November 2023, seorang ibu kepada kanak-kanak perempuan yang berusia 2 tahun tiga bulan maut lepas 8 jam ditinggalkan dalam kenderaan.

Bagaimanapun, tertuduh, Nur Sari Fardiana Mohd Amran, 38, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Dakwaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Mendengar rayuan kedua-dua pihak, Dr Syahliza kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat