PETALING JAYA: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Simpang Renggam, Profesor Dr Maszlee Malik dan Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse telah dilantik sebagai Naib-Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor bagi penggal 2025 hingga 2028.
Pelantikan tersebut diumumkan oleh Pengerusi MPN PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menerusi satu kenyataan, hari ini, susulan mesyuarat rasmi MPN Johor yang berlangsung di Ibu Pejabat PKR Johor pada Sabtu.
“Pelantikan Naib-Naib Pengerusi MPN turut dimuktamadkan, iaitu Dr Maszlee Malik, YB Jimmy Puah dan Shamala Vasudevan” katanya.
Mesyuarat tersebut mencatatkan kehadiran penuh dengan penyertaan 26 Ketua Cabang, enam Ahli Parlimen, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri serta pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR Negeri.
Dalam sesi berkenaan, MPN PKR Johor turut memuktamadkan pelantikan bagi jawatan-jawatan utama MPN serta Ketua-Ketua Biro Negeri yang akan menjadi tunjang kepada pergerakan parti di Johor.
Antara yang dilantik termasuk Ketua Cabang PKR Bakri, Md Ysahruddin sebagai Timbalan Pengerusi MPN, manakala Ketua Cabang Segamat, Shamala Vasudevan turut menyertai barisan Naib Pengerusi negeri.
Menurut Dr Zaliha, pelantikan tersebut melambangkan keterangkuman yang menggabungkan pelbagai latar belakang profesional, pengalaman dan gender, sekali gus memperkukuh hala tuju PKR Johor.
“Dengan lantikan terbabit ia secara tidak langsung telah melengkapkan keterangkuman yang menggabungkan kepelbagaian pengalaman, profesionalisme dan gender sekali gus akan mampu memperkasa hala tuju PKR Johor,” ujarnya.
Mesyuarat turut bersetuju melantik Timbalan Pengerusi Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) sebagai Setiausaha MPN, manakala Ketua Cabang Mersing, Khairil Adanan akan menerajui Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN).
Dr Zaliha berkata, PKR Johor akan terus memastikan jentera parti sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi cabaran politik semasa dengan strategi yang tersusun dan berpaksikan agenda reformasi.
“PKR Johor akan memastikan jentera sentiasa bersiap siaga dalam mendepani cabaran politik semasa dengan strategi yang tersusun, berpaksikan kepada agenda reformasi,” jelasnya.
Beliau turut menekankan komitmen PKR Johor untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama rakan-rakan komponen Pakatan Harapan demi kestabilan politik dan kelangsungan agenda Kerajaan Madani di negeri itu.
“Sekali gus menjadi wadah perjuangan yang kukuh dan membawa negeri Johor ke arah masa depan lebih progresif,” tambahnya.