Mat Salleh seronok campur komuniti di Malaysia

SEORANG pelancong luar negara mencuri perhatian warga maya selepas berkongsi pengalaman positif sepanjang bercuti secara ‘backpacker’ di Malaysia selama dua minggu.

Perkongsian itu dimuat naik semula oleh pengguna Threads dikenali sebagai Jeanai yang memuji sikap mesra rakyat Malaysia terhadap pelancong asing serta layanan hospitaliti yang diterima oleh pengembara dikenali sebagai Safin Clark.

Menurut Jeanai, pengalaman dikongsikan pelancong terbabit membuktikan Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelancong antarabangsa kerana suasana masyarakatnya yang mesra dan mudah menerima kehadiran pelancong luar.

Malah, dia turut berseloroh meminta orang ramai supaya “jangan datang ke Malaysia” kerana terlalu seronok menikmati pengalaman berada di negara ini.

“Ya, dia benar-benar faham tugasan itu jangan datang ke Malaysia!” katanya secara berseloroh menerusi hantaran tersebut.

Hantaran itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial lain yang berkongsi pengalaman serupa mengenai kehidupan di Malaysia.

Seorang pengguna Threads, maru2_kun, berkata rakannya dari Australia mengalami peningkatan berat badan hampir 20 kilogram selepas menetap selama tiga tahun di Malaysia akibat terlalu menggemari makanan tempatan.

“Dia jadi ketagih nasi lemak rendang ayam dan telur mata. Itu pilihan makanan paling ‘bahaya’ yang dia makan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna dikenali sebagai Edmonisher89 berpendapat rakyat Malaysia lazimnya akan membalas layanan baik yang diberikan kepada mereka.

“Rakyat Malaysia biasanya akan melayan orang lain berdasarkan cara mereka dilayan. Jika anda datang dengan sikap positif, anda juga akan menerima layanan yang baik.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya galakkan anda menikmati pengalaman berada di sini,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat