CYBERJAYA: Kerangka Peraturan Pesanan Elektronik Komersial Tidak Diingini (UCEM) akan memperkukuh perlindungan pengguna, menggalakkan amalan pemasaran digital bertanggungjawab dan memupuk ekosistem digital yang lebih selamat serta dipercayai.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), langkah itu selaras dengan peruntukan baharu Seksyen 233A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang diwartakan Februari lalu.
“MCMC sedang merangka perundangan subsidiari bagi mewujudkan struktur kawal selia yang jelas, utuh dan berkesan untuk menangani peningkatan penghantaran ‘spam’.
“Rundingan awam selama dua minggu bermula hari ini diadakan bagi mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan termasuk pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil, kumpulan pengguna, pembuat dasar dan orang awam,” kata MCMC dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, MCMC mengalu-alukan penglibatan orang ramai dalam meneliti dokumen rundingan dan mengemukakan pandangan terhadap pendekatan kawal selia yang dicadangkan.
Tempoh rundingan berlangsung hingga jam 5 petang, 27 Ogos ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman web rasmi MCMC.
Baca juga:








