MCMC Jelas Isu Data Telefon Bimbit, Privasi Pengguna Terjamin

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan bahawa tiada maklumat peribadi pengguna didedahkan dalam proses pengumpulan data telefon bimbit (Mobile Phone Data, MPD) daripada syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan atau Pengendali Rangkaian Mudah Alih (Mobile Network Operators, MNO).

Dalam kenyataan media pada Jumaat, MCMC berkata, proses tersebut tidak melibatkan sebarang akses, pemprosesan atau pendedahan kepada Maklumat Pengenalan Peribadi pengguna.

“Tiada sebarang maklumat peribadi pengguna diakses, diproses atau didedahkan.

“Data yang diperoleh telah dianonimkan sepenuhnya dan digunakan semata-mata untuk tujuan statistik rasmi,” jelas MCMC.

Menurut MCMC, MPD digunakan secara inklusif bagi menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti dalam dua bidang utama, iaitunsektor ICT dan sektor pelancongan.

Menurutnya, dalam sektor ICT, data tersebut digunakan untuk menghasilkan statistik terperinci berkaitan jumlah langganan jalur lebar mudah alih yang aktif serta kadar penembusan di pelbagai peringkat termasuk negeri, daerah, mukim, kawasan Parlimen, DUN dan pihak berkuasa tempatan.

Manakala katanya, bagi sektor pelancongan, MPD membantu dalam menghasilkan indikator jumlah pelawat serta bilangan perjalanan pelancongan domestik.

“Kami ingin menekankan bahawa data MPD yang diminta daripada MNO adalah data yang telah dianonim dan tidak mengandungi sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti mana-mana individu,” katanya.

MCMC turut memaklumkan bahawa MNO diberi dua pilihan dalam proses penyediaan data iaitu MNO memproses MPD dalam persekitaran dalaman yang selamat, kemudian menyerahkan output yang telah dianonim dan diagregatkan kepada MCMC.

Manakala pilihan kedua pula, MNO yang tidak mempunyai keupayaan pemprosesan sendiri boleh menyerahkan data yang telah dianonimkan kepada MCMC untuk diproses.

Menurut MCMC, pelaksanaan MPD itu selaras dengan hala tuju strategik kerajaan dalam memperkukuh kualiti serta ketepatan masa statistik kebangsaan khususnya bagi perancangan dan dasar.

“Inisiatif ini juga melibatkan kerjasama dengan badan antarabangsa seperti Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (International Telecommunication Union, ITU) dan Jawatankuasa Pakar PBB mengenai Data Raya dan Sains Data,” ujarnya.

Tambahnya, sejak dua tahun lalu, MCMC telah mengadakan pelbagai sesi libat urus bersama syarikat telekomunikasi.

“Antara sesi utama ialah Bengkel Kebangsaan MPD yang diadakan dari 2 hingga 5 September 2024, melibatkan wakil daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, ITU, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan serta syarikat seperti CelcomDigi, Maxis, TM Tech, U Mobile dan YTL,” kata MCMC lagi.

Pendekatan itu turut mengikuti amalan terbaik antarabangsa dan telah dilaksanakan di beberapa negara seperti Indonesia dan Brazil.

“Di negara-negara tersebut, data telekomunikasi yang telah dianonimkan turut digunakan untuk memperkukuh statistik kebangsaan tanpa menjejaskan privasi pengguna,” katanya.

Anda Mungkin Berminat