KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan penambahbaikan terhadap Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (Mandatory Standards of Quality of Service) bagi sektor penyiaran dan kandungan dengan tujuan memperkukuh perlindungan pengguna serta meningkatkan tahap kepuasan pelanggan.
Dalam satu kenyataan, MCMC berkata, langkah itu bukan sekadar memastikan perkhidmatan beroperasi tetapi memberi penekanan terhadap prestasi sebenar yang dirasai oleh pengguna.
“Standard yang dikemas kini ini melangkaui sekadar memastikan perkhidmatan beroperasi dengan memberi penekanan yang lebih kukuh terhadap tahap prestasi sebenar perkhidmatan kepada pengguna,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Antara penambahbaikan utama termasuk peluasan skop standard melibatkan perkhidmatan kandungan berasaskan langganan dan bukan langganan, pelaporan prestasi yang lebih menyeluruh serta tadbir urus yang lebih ketat.
MCMC turut menetapkan kewajipan penyelesaian aduan pelanggan secara lebih tegas dengan syarat masa yang jelas bagi setiap aduan.
Menurut suruhanjaya itu, Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) kini tertakluk kepada tahap akauntabiliti yang lebih tinggi khususnya dalam aspek ketersediaan perkhidmatan, pemantauan prestasi serta penyelesaian isu secara tepat pada masanya.
Standard itu katanya terpakai kepada semua CASP yang menyediakan televisyen dan radio di seluruh negara termasuk televisyen percuma, televisyen berlanggan dan radio terrestrial.
Setakat ini, sebanyak 34 CASP aktif tertakluk di bawah standard berkenaan.
Pematuhan akan dipantau secara berkala melalui laporan prestasi Kualiti Perkhidmatan (QoS), selain mewajibkan penyedia perkhidmatan menyimpan rekod lengkap yang boleh diaudit sekurang-kurangnya selama dua tahun.
Dengan penambahbaikan ini, MCMC menegaskan komitmen untuk memastikan pengguna mendapat perkhidmatan penyiaran yang lebih boleh dipercayai, telus dan responsif terhadap keperluan semasa.








