PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat enam individu yang dipercayai memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik melibatkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja di Facebook.
Menurut MCMC, satu operasi pemeriksaan telah dijalankan hari ini melibatkan salah seorang suspek di Setapak Kuala Lumpur, yang memuat naik kandungan palsu terhadap Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
“Satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim berkaitan kes telah disita bagi membantu siasatan.
“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, menurut MCMC, seorang lagi suspek akan diambil keterangan esok bersama dengan pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) PDRM.
Manakala, operasi pemeriksaan bagi kes-kes lain pula akan dijalankan sepanjang minggu ini ke atas semua suspek di lokasi berasingan sekitar Sungai Petani, Kota Bharu, Kerian dan Teluk Intan.
Terdahulu, dua notis telah dikeluarkan oleh MCMC kepada dua orang suspek untuk hadir memberikan keterangan bagi kandungan yang dimuat naik oleh mereka di platform media sosial Facebook.
“Siasatan menyeluruh akan dibuat dan seterusnya kes akan dikemukakan kepada
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk keputusan selanjutnya.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum,” katanya.
MCMC turut mengingatkan orang ramai tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk memuat naik sebarang kandungan maklumat palsu atau tidak benar yang boleh membawa kesan serius sehingga mencetuskan panik dan kegusaran kepada masyarakat.
Orang ramai disaran menggunakan Chatbot AIFA untuk menyemak berita yang tidak ditentusahkan dalam talian.
“AIFA direka untuk menjadi mesra pengguna dan boleh diakses 24 jam melalui portal Sebenarnya.my serta aplikasi WhatsApp.
“Pengguna dapat berinteraksi dengan chatbot ini dalam empat bahasa iaitu
Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil,” tambahnya.