MCMC siasat individu berhubung hantaran palsu melibatkan Fahmi Fadzil

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan berhubung hantaran palsu di media sosial yang menggunakan logo dan identiti visual Buletin TV3.

Menurut MCMC, Individu berkenaan menyebarkan maklumat tidak benar mengenai kononnya kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengenai penutupan TikTok Malaysia.

“Siasatan awal mendapati kandungan berkenaan telah diubah suai dan disahkan palsu.

“MCMC menegaskan kenyataan tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi.

“Kami mengambil serius setiap penyebaran maklumat palsu yang boleh mengelirukan orang ramai,” kata kenyataan MCMC pada Selasa.

Media Prima Berhad turut mengeluarkan penafian dan membuat laporan polis, menegaskan hantaran itu bukan diterbitkan oleh Buletin TV3 atau mana-mana platform berita di bawah rangkaian Media Prima.

Mereka turut menyifatkan penggunaan logo dan identiti visual Buletin TV3 sebagai penyalahgunaan yang disengajakan.

Individu yang disyaki terlibat telah dipanggil untuk membantu siasatan dan keterangannya dirakam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Perak.

“Satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM turut disita bagi tujuan analisis forensik digital.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.” Tambah kenyataan itu.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai pengumuman berita palsu penutupan akaun Tiktok di Malaysia oleh Fahmi Fadzil yang menggunakan logo Buletin TV3.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat