Mega! Deretan kejutan istimewa KRU buat peminat menutup tirai 2025

Site Icon

MEGA! Satu perkataan yang mampu diungkapkan buat trio adik-beradik KRU yang membuktikan kehebatan mereka dengan penganjuran konsert kelima mereka tahun ini, GenKRU The Finale One More Time, yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November lalu.

Berbumbungkan langit, KRU membuka tirai dengan lagu rancak Awas, menariknya penampilan Norman, Yusri dan Edry berbeza kali ini iaitu berseluar jeans dan berjaket penuh labuci.

Beberapa kali juga mereka menyatakan semuanya serba baru untuk konsert penutup 2025 kali ini.

“Semua baru, penampilan baru sebab kita tak nak sama dengan yang lama. Kerana anda kami di sini sekali lagi. Terima kasih,” ucap Norman kepada penonton yang sudah terasa kehangatan konsert.

Bayangkan, KRU menyanyi tanpa henti selama sejam dan peminat terus menari mengikut lenggok muzik dan mengharapkan lebih banyak lagu daripada trio legenda itu.

Antara momen menarik ialah ketika KRU menyanyikan lagu Intifada nyanyian asal Rabbani dan tidak lama kemudian, tiga anggota Rabbani muncul dari platform dan selebihnya dari sisi kanan pentas membuatkan peminat menjerit kerana kejutan tersebut.

Ternyata, kemunculan Rabbani dengan lenggok nasyid memberi nafas baharu kepada genKru kali ini.

Tidak hanya itu, Leona Azhar dan Datuk Seri Vida (DSV) turut muncul ketika KRU membuat persembahan lagu Gerenti Beres. Kata Edry kemunculan Leona bagi mengenang penglibatan bapanya, Azhar Sulaiman dalam muzik video mereka pada 1994 manakala DSV pula membuat kolabrasi minuman tenaganya.

Malam dihangatkan lagi dengan kemunculan yang dinanti-nantikan selama ini, Datin Juliana Banos yang sudah lama tidak muncul di khalayak ramai muncul dengan dres mewah rona merah berduet lagu Sehidup Semati bersama KRU.

Tidak lupa, Elite dan Adam menjadi penyanyi undangan terakhir KRU.

“Terima kasih kepada semua peminat KRU yang setia menyokong dan terus menghargai karya kami. Kami sayang anda semua,” ujar KRU selepas menutup persembahan dengan lagu Terhangat Di Pasaran.

Konsert GenKRU The Finale One More Time turut melabuhkan tirai dengan persembahan bunga api yang memukau, diiringi tepukan gemuruh dan sorakan peminat yang enggan malam penuh nostalgia itu berakhir.

Konsert berskala besar itu hadir selepas empat penganjuran di Axiata Arena Bukit Jalil yang sebelum ini mencipta sejarah sebagai antara siri konsert paling berjaya dalam industri muzik tempatan.

Dalam pada itu, Pengarah Icon Entertainment, Iman Tang, berkata permintaan luar biasa peminat menjadi faktor utama pihaknya meneruskan penganjuran konsert tambahan.

“Sejak konsert Mei lalu, kami terus didesak agar membawa KRU kembali ke pentas berskala besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Iman turut melihat perkembangan positif dalam trend penganjuran konsert di Malaysia yang kini mengikuti aliran global, terutama dari segi penambahan hari dan skala produksi.

“Jika di luar negara konsert berlangsung berhari-hari, kini trend itu mula mengalir ke Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata pihak penganjur, termasuk syarikat lain, lebih bersedia menambah siri persembahan setelah melihat permintaan tinggi daripada peminat tempatan.

“Buktinya jelas melalui genKRU The Finale One More Time. Ia tercetus kerana permintaan yang sangat besar,” tambahnya.

KRU mula menjadi fenomena sejak era 90-an dengan rangkaian hits pop-dance dan rap yang mendominasi carta, menjadikan kumpulan ini antara perintis paling berpengaruh dalam revolusi muzik moden Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat