PUTRAJAYA: Proses memilih pemimpin terbaik bukan ditentukan semata-mata melalui kemenangan dalam sesuatu sesi debat, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Jelas beliau, dalam konteks tawaran debat yang dikemukakan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli terhadap Nurul Izzah Anwar, beliau menyerahkan kepada kedua-dua calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk membuat keputusan sewajarnya.
“Debat ini adalah satu kaedah. Ia bergantung kepada calon sama ada mahu menyambut atau menolak. Nama pun tawaran, bukan paksaan.
“Masa saya dengan Rafizi dulu, Sinar Harian yang aturkan debat. Sekarang saya tak masuk gelanggang pemilihan Timbalan Presiden parti. Saya fikir Izzah pun dah beri respons, dia nyatakan fokusnya adalah untuk menyatukan dan mendekati 29,000 perwakilan.
“Sefaham saya, beliau tidak meletakkan debat sebagai satu keutamaan atau keperluan.
“Saya tidak mahu meletakkan bahawa untuk memilih pemimpin yang baik itu adalah semata-mata berdasarkan kemenangan dalam debat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 Jabatan Imigresen Malaysia di Dewan De Seri Endon, Puspanitapuri pada Jumaat.
Terdahulu, Rafizi pada program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Mentakab, Pahang, memaklumkan beliau sedia berdebat dengan Nurul Izzah bagi meredakan suhu panas dalam kalangan penyokong masing-masing ketika ini.
Namun, Nurul Izzah dalam satu sidang media menolak pelawaan berdebat kerana mahu menumpukan perhatian kepada usaha menyantuni perwakilan dan tidak mahu pemilihan kali ini tertumpu kepada soal politik semata-mata.
Jelas Saifuddin, kedua-dua calon merupakan tokoh yang amat dikenali dalam PKR dan masing-masing adalah aset penting kepada parti dan perwakilan sudah mengetahui kelebihan kedua-duanya.
Baca juga: